Selamat Hari Pekerja

Selamat Hari Pekerja.

Kepada sesiapa yang terpaksa bekerja hari ni, aku ucapkan takziah kerana terpaksa membanting tulang ketika semua pekerja di seluruh dunia meraikan satu-satunya hari kebesaran pekerja. Hari Raya Pekerja.


Hari ni, bertahun yang sudah, ada manusia yang bermatian meminta waktu kerja maksima 8 jam. Dan, hari ini kita ada di sini untuk mengingati pengorbanan mereka. Hero-hero kelas pekerja. Hero-hero yang telah meleraikan sedikit rantaian tuan-tuan kapitalis.

Dan hari ini, sudah semestinya kita patut penuhi dengan bermacam hal yang bermakna.

Macam.....tidur.

Siti Amir
















*Perkenalkan, Siti Amir. Yang kanan. Yang kiri tu, anak Sarjan dekat Bukit Aman. Mak dia garang. Gambar diambil ketika Siti Amir masih di bawah umur.

Jujur, aku pernah mengikut kawan aku, untuk hanya melepak di kawasan kolam KLCC dengan hanya merokok, dan memerhatikan beberapa orang tomboy menghabiskan masa mereka dengan diri mereka sendiri, ataupun dengan teman-teman mereka.

Kenapa?

Kerana bagi aku, mereka adalah sangat kacak. Tapi, kekacakkan mereka, hanya dapat aku katakan dari pandangan luaran aku sahaja, secara fizikal, bukan emosi atau apa sekalipun. Dan itu, aku lakukan hanyalah untuk menghabiskan masa aku untuk memerhatikan mereka yang sangat kacak itu, sambil kami cuba menghabiskan tiap batang rokok yang kami bawa sebelum meleraikan diri kami dari sana.

Tapi, Siti Amirah, yang senang aku panggil sebagai Amir, memang aku pasti, sangat kacak- secara fizikal, dan mungkin aku boleh katakan, secara emosinya.

Bayangkan jika ada satu tubuh comel yang berlalu di belakang kita, kemudian dengan fesyen baju kurung Hari Rayanya, dia melemparkan senyumannya itu, dengan tangan kirinya, mengenggam semua jarinya, kecuali jari hantunya. Bayangkan, yang kita ada di dalam keadaan itu.

Bayangkan, dengan senyuman itu, dia datang berlalu di belakang kita, sambil memuncungkan mulutnya, tanda marah sambil jalan tertunduk. Berlalu di belakang kita, dan tak dihiraukan panggilan kita, yang selalunya akan disambut dengan riang sekali. Er....atau dalam kebanyakkan masanya, akan disambut dengan makian, dan hamunannya.

Setiap langkah yang diambilnya, selalu meninggalkan kasutnya di bawah meja kerjanya, yang letaknya jauh dari meja kerja aku.

Tiap tengahari, dia akan duduk di pantri dengan mengkuk-mangkuk dan botol airnya. Dia, tak pernah makan makanannya dengan sudu. Tapi, hanya menggunakan garfu. Dia, akan menikmati bekalan yang disediakan oleh ibunya, saban hari dengan pelbagai jenis masakan kampung, yang selalu mengiurkan aku, yang selalu makan di sana dengannya, jika aku tak makan di kedai tak halal.

Dengan rambut pendeknya itu, dia akan duduk di satu sudut kecil, yang muat untuk besar tubuhnya. Dia akan menadahkan tangan dan berdoa. Akan dibukanya semua mangkuk besi itu, dan dihidangkan kepada semua. Tadi, dia masukkan seekor udang masak sambal dalam nasi lemak percuma aku. Dia akan habiskan makanannya dalam masa yang agak lama. Bayangkan, aku yang makan nasi lebih dari dia, akan selalu habis awal. jauh lebih awal darinya.

Buku, adalah salah satu kegemarannya. Aku pernah habiskan masa aku, dengan dia menyelongkar rak-rak buku di Junk Book Store ketika waktu makan tengahari kami. Dengan berbekalkan beberapa keping duit di dalam poket aku, aku ke sana. Dan, di sana, dia beli sebuah buku, yang aku 'racun'kan dia untuk beli. Buku Anne Frank. Aku tak pernah baca buku ni. Tapi, aku pernah baca seseorang tulis pasal buku ni. Jadi, aku cadangkan dia untuk beli buku tu.

Beberapa bulan lepas, dia mintak tolong aku cari kan temppat yang nak beli buku terpakai yang diberikan oleh makciknya, buku-buku cerita, novel yang berkulit berilustrasi separa-lucah itu.

Dia, pernah baca Bintang Kertas, dan dia tak pernah nak judge aku sebagai apa sekalipun. Cuma dia kata, dia belajar kata perkataan terpancut dari Bintang Kertas. Dia pernah pinjam 'buku' Banksy yang aku sayang, dan beberapa buah buku yang berat ke arat yang sesat, dan juga beberapa naskah zine yang aku miliki. Aku suka untuk beritahu dia tentang semua kegilaan yang aku alami ni. Aku nak dia tahu, bahawa aku sememangnya sedang menjadi normal seperti manusia lain. Aku punya kehidupan, walaupun ia selalu dipandang dan dianggap sebagai songsang.

Tapi, dengan baju kurungnya itu, diterimanya semua 'ketidaknormalan' ini, atas nama kawan. Atas kepercayaan, dan atas rasa solidariti sebagai pekerja yang membenci tuan masing-masing.

Dengan tenang, dia sekali bersama dengan aku, dan Zee ke tayangan dokumentari murah, yang sangat menarik. Tayangan dokumentari yang rasanya tak akan disiarkan di dalam mana-mana media bongkak yang dimiliki oleh sesetengah pihak.

Dia tak kisah, dan dia tak pernah kisah rasanya.

Aku dan dia, pernah menghabiskan masa kami di kedai menjual alatan muzik. Aku tunjukkan padanya, gitar idaman aku. Gitar Les Paul yang dikurung di dalam almari kaca itu, yang sedang meronta kepada aku untuk aku bebaskan dia. Atau mereka.

Dia, keluar dari stau lorong dan lemparkan senyuman dia. Senyuman bi-jantina. Di salah satu tangannya, terpegang kemas sebuah alatan muzik, dibeleknya dengan seronok sekali, dan aku hanya memandang sambil aku betulkan kedudukan tali pinggang aku.

Dia keluar dari kedai itu, dengan mengetahui harga barangan yang nak dibelikan kepada adiknya nanti.

Dan aku keluar, dengan igauan ngeri apabila teringatkan jeritan deretan Les Paul itu. Aku tahu, mereka semua terseksa di sana. Tapi, untuk membebaskan mereka dari sana- hanya untuk melepaskan salah satu dari mereka, boleh membuatkan aku menghamba abdikan diri aku kepada tuan-tuan yang aku benci.

"Sabar, sayang..." balas aku kepada jeritan dan tangisan ngeri mereka.

Baru-baru ni, minggu lepas, Amir kehilangan datuk yang disayanginya. Dia memang sayang pada orang tu, cuma aku nasihatkan pada dia, pada malam dia SMS aku, yang memang dah tiba masanya untuk orang tu pergi. Bagi aku, ini memang lumrah kehidupan. Memang bulshit. Tapi, itulah hakikatnya. Manusia, atau apa sekalipun, akan mati. Termasuklah perhubungan antara manusia. Antara sesama manusia atau apa sekalipun.

Tadi, setelah pulang dari cutinya, dia kembali bekerja, dan memenuhi pandangan aku, di depan sana. Di satu sisi yang mana letaknya seorang perempuan tua yang cerewet, yang hanya makan nasi setahun sekali, dan seorang ibu muda yang sedang sarat mengandung. Yang mana telah berjumpa dengan suaminya, dari MySpace.

Jadi, pemandang aku di depan, telah sempurna dengan adanya dia. Panggilan harian aku akan cukup bila adanya dia, bila aku akan mendail nombornya, walaupun hanya untuk membuat lawak-lawak bodoh yang tak akan ditelivisikan oleh mana-mana siaran kerajaan. Dan hari aku akan lebih baik bila mendengar kepada lawaknya yang akan difahami oleh dia sendiri. Aku hanya memandang dan turut ketawa. Ketawa memerhatikan dia.

Itu Amir. Seorang anak gadis yang masih muda, yang pernah bekerja dengan sebuah syarikat penerbangan arab, yang mana sangat jauh bezanya dari aku, kerana dia menyukai Farid Kamil sedangkan, aku rasa itu sangatlah menjijikkan.

Tapi, dia buat aku terasa aku punya lagi seorang kawan. Seorang kawan, yang akan menghabiskan masa bodoh mereka untuk menjadi bodoh di dalam usaha melarikan diri dari kebodohan itu sendiri. Banyak yang dah kami sama-sama kritik, termasuklah penghantar-penghantar surat yang kacak dan banyak lagi.

"Bagi aku, ini memang lumrah kehidupan. Memang bulshit. Tapi, itulah hakikatnya. Manusia, atau apa sekalipun, akan mati. Termasuklah perhubungan antara manusia. Antara sesama manusia atau apa sekalipun".

Aku rasa, bosan bila aku baca semula baris ayat atas ni. Aku rasa macam hipokrit sekali sebab aku pernah beritahu kawan-kawan aku pasal benda ni. Aku nak mereka semua berdia menghadapi perpisahan dan kehilangan yang akan sentiasa mereka temui di dalam menjalani kehidupan mereka ini.

Tapi, aku sendiri tak pernah bersedia untuk hal-hal macam ni. Aku tak pernah dapat sedia untuk ini semua. Macam yang sedang aku alami sekarang ni.

Beberapa minggu yang lepas (agaknya) Amir dah pun hantarkan surat perletakkan jawatannya untuk kali kedua. Dan kali ni, agak serius sebab dia dah pun disahkan akan melepaskan jawatannya di tempat aku bekerja. Dan pengesahan ini aku terima dari satu sumber yang sangat boleh dipercayai di dalam bidang pengambilan, pembuangan dan pemergian pekerja-pekerja di syarikat yang membayar gaji aku.

Aku tahu, dia ada pergi bertemu duga dengan beberapa syarikat lain, tapi aku tak sangka pulak, sangatlah cepat masa berlalu. Rasa, macam baru beberapa hari lepas, aku nampak bos aku menemuduga seorang gadis bawah umur untuk dijadikan teman sekerja kami.

Dan, entah berapa hari lagi, dia akan tinggal di tempat kerja aku, dan memenuhkan pemandangan aku di depan. Entah berapa hari lagi yang tinggal untuk aku menumpang menikmati masakkan emaknya itu, dan koleksi mangkuk besi dan garfunya itu, memang akan selalu aku rindukan.

Aku rasa, aku tak pernah sedia untuk itu semua.

Jadi, pagi tadi aku tanyakan pada diri aku ketika berdiri menghabiskan rokok di dalam bilik air yang gelap itu. Dari sisa-sisa cahaya, aku tanyakan diri aku, apa yang sedang aku rasakan ini?

Rasa sayang? Atau cinta.

Atau sekadar rasa kecewa akan kehilangan seorang lagi kawan yang selalu ada.

Jadi, aku SMS si Zee. Tanyakan dia tentang apa yang sedang aku fikirkan.

Mungkin, hanya satu perasaan takut akan kehilangan seorang kawan lagi.

Dan di meja kerja, seorang teman dari bangunan lain, di bahagian IT, menginstant message kepada aku, tanyakan tentang Amir selepas dia sibuk mengajak aku mengikut dia dan beberapa temannya ke Pulau Tioman.

"Rawang tak jauh, beb" nasihatnya kepada aku.

Aku sendiri? Tak punya jawapan tentang semua ini.

Forrest Gump

Berdiri di hujung tangga, Forrest memerhatikan Jenny, sedang memanjat satu persatu anak tangga, dengan genangan air mata, di wajahnya- di wajah penat Jenny.

Lalu, berkatalah Forrest, "aku mungkin bodoh, tapi aku tahu apa itu cinta" memecahkan kesunyian yang merasuk.

Itu, seperti yang dipertontonkan di dalam filem Forrest Gump.

Di dunia yang nyata, di hadapan sebuah komputer, seorang lelaki sibuk memandang ke skrin telefon bimbitnya- mainan canggihnya yang selalu membawa dia pergi jauh entah ke mana bersama-sama dengan semua ayat-ayatnya.

Lalu, dikatanya kepada hatinya itu, "aku mungkin bodoh, tapi aku tahu apa itu cinta" memecahkan tanda tanya yang memecahkan benteng yang dahpun diaturkan di dalam dirinya sendiri. Benteng yang cuba ditanamkan di dalam dirinya sehingga benteng itu memenuhi seluruh ruang di dalam diri seorang lelaki itu.

Cinta atau Perasaan Takut akan Kehilangan?

Pagi tadi, aku bangun tidur dan tanyakan diri aku tentang ini. Langsung, lagu-lagu sengsara John Frusciante, hilang tak kedengaran. Yang ada cumalah satu tanda tanya, yang datang dengan 2 pilihan jawapan.

Dan, hanya untuk menjawab satu persoalan ini, aku perlu belajar tentang apa yang aku rasakan.

Cinta, rasa sayang ataupun perasaan takut akan kehilangan.

Panjang cerita. Lepas kerja, aku taip lagi.

Penulis Kinky

Setelah menghabiskan masa selama beberapa minit untuk habiskan pembacaan aku ke atas cerita-cerita pendek lucah, baru aku sedar bahawa di mana-mana, di dalam apa bidang dan lapangan sekalipun, manusia masih lagi punya imaginasi kinky yang amat sangat. Dan, itu adalah positif.

Aku dapat gambarkan, di masa akan datang, akan ada ramai penulis lucah lagi, agar kita semua dapat larikan diri kita dari dilucahkan oleh media besar yang mengongong dan menghalang kita untuk mengetahui kebenaran sesuatu hal itu.

Hurm...

+malam bday...+

10 malam…11 malam..12 malam..

Nak msg xnak..nak msg xnak…

Argh!! Msg jew r..1 sen jew.. ;p



12.01 am

Salam..Selamat Hari Lahir yg ke-19..Semoga diberkati Allah & berjaya dlm hidop..Hmm,fwenz 4ever lolx..

01.34 am

Wasalam..thnx tiara! Tq very much!

01.37 am

X tito lagi?? Ke bru bes study?

001.38 am

Br bgn..tad t’pakse tdo..x larat..dmam..hmm,sye br pas accident..

01.40 am

Xcident?! Camne leh xcident? Da mamam ubat x..? Sowy kalo msg saya wat awk bgun..

01.41 am

Naek moto..langgr pasir kat simpang..xla teruk tap bole thn r gak.. Bising gak r akak dgn saye..

01.43 am

Awk yg bwk? Camne lar leh telggr pasir…? Hahaha..awk nie wat lawak r..!!! Hmm,spu minyak gamat taw kat kwsn luke 2..da jumpe doc blum?? Bes2 skunk kat uni @ uma?

01.44 am

Kt u lg..hmm..sume da..awak,saye skit nie sbb accident,awak leh gelakkan saye lak..terok tol..da lewat nie,npe x tito lagi??

01.45 am

Gud2..so,skunk nie awk smbg tito r..cian lak..kang mkin saket lak..hahaha..Btw,awk jgn lupe mamam ubat taw..jgn nak ngelat lak..buhbye..gud nite taw..

01.47 am

Ngelak lagi..!!! jawab lar..!!! Jgn tito dlu..Sye tau awak x tito lagi..


(silent…)


01.55 am

Saye tgh naip note abah..soe…

01.57 am

Ingat da tito..saye tau awak tito lambat..chat??

01.58 am

Aik..bawu nak tanye kabar?? Hmm..chat kowt..


(call msuk-2.02 am)


“jgn mcm nie!!”

“mcm ner??”

“tadi 2 lar…”

“mnew de pape…ok jew..”

“jgn tpo leh x??”

“saye ok..xde pape..jgn icau..awak 2 x chat,demam lagi”

“tgk 2..”

“saye ckp tol..saye da ciap..nak tito”

…….

“Assalamualaikum awak..buhbye..gud nyte”

“awak!!”

Tut..tut…tut….

Bandar Kelawar



Di dalam bilik gelap, aku letakkan lengan aku di atas dahi aku, sambil kawan lama aku, yang bersama dengan aku ketika sekolah menengah aku, sedang sibuk mencium mulut si Renton. Sesekali, aku pandang ke luar. Kepada Nana yang sedang duduk di balkoni.

Dia, kesunyian.

Semalam, adalah hari bergelak ketawa bersama dengan seorang teman lama, sambil kami ditemankan dengan lagu-lagu bising yang aku simpan di dalam pemain MP3 aku dan juga ditemankan dengan kisah-kisah klasik budak-budak kampung yang macam, sangat ignorant.

Aku memang budak kampung, yang membesar di dalam keadaan yang sangat membosankan ditambah pulak, dengan keadaan pekan kecil yang sangat merimaskan. Pada masa tu, tak ada lagi deretan bangunan-bangunan cantik macam sekarang. Dulu, hanyalah sebuah bandar sepi yang selalu meninggalkan kenangan hitam untuk setiap manusia yang pernah singgah di atasnya.

Kampungku, dah pun diterokai oleh pemodal-pemodal besar yang melihat tempat itu sebagai potensi untuk mengembangkan sayap keuntungan mereka.

Kalau dulu, nak makan donut, cuma perlu ke gerai-gerai tepi jalan, atau kalau dah kaya sikit, boleh lah ke kedai roti. Tapi, sekarang, dah ada kedai donut mahal, aku tak ingat nama dia. Ada Secret Recipe, dan bermacam lagi. Jadi, bila kali terakhir aku menjejakkan kaki ke Bandar Kelawar, aku jadi bosan.

Bosan, memandangkan di sana tak lagi bosan seperti dulu. Bosan bila tak ada apa yang boleh aku rungutkan tentang pekan sunyi itu lagi. Dan tak ada sebarang alasan untuk aku dan kawan-kawan aku, menghabiskan masa hanya dengan duduk berbual di tepi tong sampah besar di belakang hotel tiga bintang itu- macam yang pernah aku dan Hailie lakukan saban malam.

Nilai melepak dan berbual kosong, dah pun dicuri oleh pemodal-pemodal yang datang dengan pelbagai macam produk yang mereka ada- wayang, kafe-kafe mahal, kedai-kedai yang tak perlu, dan manusia-manusia bongkak yang menjengkelkan.

Kalau dulu, aku pulang ke kampung, aku pasti akan menjangkakan kebosanan, dan kemurungan, sambil menemankan kawan-kawan aku menonton bola di kedai berdekatan dengan round about, ataupun menonton mereka semua bermain muzik. Tapi, sekarang dah tak ada. Sebab semua tu dah dicuri oleh bangunan-bangunan besar yang telah dah sedang disiapkan di dalam memenuhkan segala kekosongan yang ada di pekan kecil itu.

Dah tak ada lagi kandang babi di depan pejabat haiwan Bandar Kelawar, yang terletak bersebelahan dengan sekolah jenis kebangsaan Tamil, yang di sebelahnya terletak sebuah gereja dan di depannya pula, terdapat kubur orang Islam dan Kristian.

Dan, itu sangatlah multi-religion!

Oh, aku teringatkan pula, perjalanan berbasikal dari rumah aku ke pekan kecil tu. Basikal biru-kuning yang aku beli dari orang kampung aku, aku kayuh untuk membawa aku ke pekan itu. Dah beberapa ekor anjing yang pernah cuba mencabul basikal itu, dan dah beberapa tempat hebat yang telah basikal itu legarkan tayarnya.

Aku ingat lagi, bila di bandar itu, tak ada panggung wayang lagi, setelah beberpa buah panggung wayang tutup atas alasan misteri yang tak terungkai sampai sekarang. Sumber hiburan yang kami ada hanyalahh, beberap buah studio muzik, arked game, dan karaoke jamban, yang mana, tak pernah aku jejakkan kaki aku ke sana. Dan, tak dilupakan, sebelum adanya kafe Railway Station moden, kami banyak menghabiskan masa kami, di Cemerlang Kafe. Versi Starbuck kami sendiri.

Di Cemerlang, bukanlah sehebat mana, walaupun kawan-kawan aku ke sana atas alasan, anak tuan punya kedai, yang juga merupakan pemilik butik AVON, sangat lah cantik. Ada yang menamakannya sebagai Sheila. Aku tak pasti, itu nama betul ke tak. Dan, tak pernah lupa juga, bapanya. Aku tak tahu nama dia. Jadi, kami semua sepakat untuk memanggilnya sebagai Petak, tanpa diketahuinya.

Sebab apa Petak? Sebab rambutnya. Kunjungilah Bandar Kelawar untuk melihat sendiri gaya rambutnya. Kali terakhir aku pulang, aku lihat anaknya yang lelaki, yang menguruskan satu lagi cawangan Cemerlang Kafe, dah pun punyai rambut yang sama dengan ayahnya.

Oh, pastinya aku rindukan melepak di sana- di tepi laluan pejalan kaki, sambil kami dihiburkan dengan rancangan-rancangan di TV1, 2, 3, 7, 8 dan 9, dan kadang-kadang ada terselit dengan lagu-lagu menarik yang biasanya akan tenggelam ditelan bunyi speker besar dari kedai kain yang aku pelik, dapat terus ada sampai sekarang walaupun selalu aku lalu di sana, apa yang aku nampak, pekerja-pekerjanya hanyalah sibuk bergosip mengenai itu dan ini. Dan, masa tu, masih belum ada Mawi lagi. Mawi masih di Felda, dan Siti Norhaliza masih lagi belum berkahwin.

Dan, saiz seluar aku belum mencapai seperti tahap sekarang ni.

Sekarang, di bandar sana, kita akan boleh nampak orang ke hulu dan ke hilir mengusung beg-beg dari butik, plastik-plastik dari toko-toko besar, dan makin banyak hal yang tak perlu akan boleh dilihat. Dan situasinya, menggusarkan kepala aku, yang mengharapkan kebosanan di sana. Aku tak mahu hidup malam yang seperti itu, yang sama dengan Kota Lucah ini. Aku nak kan kebosanan itu.

Aku nak habiskan masa petang aku berjalan kaki, ke bandar lama, dan menikmati pemandangan bandar lama, sambil membeli-belah di gerai-gerai kecil. Cendol, sebagai contoh. Gerai cendol sebelah kedai ikan itu, dah ada lama sejak dulu. Aku tak pasti bila adanya dia. Tapi, seingat aku, semenjak aku selalu berulang alik ke perpustakaan sejak kecil, bila aku lalu sana, mesti dia ada. Aku tak lah selalu habiskan masa kat sana, sebab aku sendiri tak suka benda hijau yang ada dalam cendol tu. Cuma, aku suka kemanisan dan kesejukkannya. Meramas jiwa, nyah!

Bila teringatkan kedai ikan kecil itu, pasti aku akan teringatkan pada imej seorang budak lelaki gemuk. Dalam lingkungan 9-10 tahun, berjalan kaki menuju ke tempat menunggu bas, setelah pulang dari perpustakaan dan bersendiri. Tiap kali lalu di sana, berdekatan dengan bekas panggung wayang lama, METRO yang kini dah jadi kedai barangan elektrik, pasti budak gemuk itu akan singgah walaupun tak punya wang untuk membeli makanan untuk ikannya. Pasti dia akan singgah untuk melihat aksesori semua itu, sambil matanya ralit memandang semua binatang yang ada di sana. Hamster pun ada jual. Tapi, masa tu, sangatlah mengarut untuk budak itu bela tikus itu. Mak dia agak garang.

Di seberang jalan, sebelum adanya tanah kosong tempat meletak kereta ni, adanya perhentian bas ala-ala Ayer Hitam yang sangatlah koboi. Di sana, ketika kecil aku, mak aku pernah belikan aku senaskah Bambino untuk aku, yang akan berada di dalam bas menuju ke Kota Tinggi.

Majalah Bambino tu, kalau aku jual di Mudah.com, pasti akan boleh aku letakkan harga yang tinggi. Itu, vintage!

Dulu, kedai makanan segera, cuma ada KFC, A&W yang hidup segan mati tak mau, Chiken Delight sahaja. Semua itu, punya nilai sentimental untuk budak kecil yang membesar di kampung seperti aku. Hari ulang tahun kelahiran aku, pernah aku dihadiahkan dengan beberapa ketul ayam. Indah, kan? Masa aku darjah tiga, mak aku kasi aku seringgit setengah untuk beli sebungkus Twisties yang berperasa pilihan aku, sebagai hadiah hari lahir. Aku ingat lagi ketika mak aku panggil aku yang sedang berada di bawah pokok getah sana.

Selepas itu, sedikit demi sedikit masuk meneroka di bandar ini. Mc Donald, Uncle Sun, Merry Brown, Secret Recipe, dan banyak lagi lah.

Aku bukanlah tak makan semua benda tu. Cuma, kalau boleh, elakkan lah letak semua itu di bandar tu. Sebab, kita masih perlukan bandar mati untuk kita habiskan masa kita yang selalu sibuk dengan kebisingan kota.

Dan, kalau ke sana, jangan lupa untuk singgah di kedai samsu. Warung samsu yang terletak bersebelahan bangunan Telekom, dan berhadapan dengan gereja. Di belakang deretan kedai di Jalan Station. Di sana, ada sebuah kedai basikal yang selalu menjadi tempat aku mengepam tayar basikal aku. Kedai penuh sesak dengan besi dan getah, dan tak lupa, minyak. Dengan pembaik pulihnya selalu pakai baju pagoda, dan dia bongkok sikit. Mungkin, kerana terlalu lama dengan basikal.

Kebosanan telah mati di sana. Apa yang ada, adalah sama seperti di mana-mana kota yang sedang enak melanjalankan kehidupan malamnya. Tak ada lagi jam 10 yang sunyi. Yang ada kini, melebihi apa yang sebenarnya bandar itu perlukan- manusia yang ada saniti dan manusia yang waras untuk berfikir sebagai manusia.

Di sana, dah tak ada jasad-jasad kebosanan yang kemabukkan dan bersuka-suka di belakang hotel tanpa ada sebarang tujuan yang lebih baik dari hanya menghabiskan masa malam bersama, dan berbual tentang segalanya. Yang ada cuma kemodenan yang mencuri semua hal yang bernilai itu. Dah terlalu banyak hal yang menarik perhatian manusia dan melupakan mereka untuk duduk dan hanya berbual tentang hidup sesama sendiri, yang sebenarnya adalah jauh lebih sihat dari menjadi sebahagian dari permainan mereka.

Oh, jasad kemabukkan ini, rindukan kari di dapur emaknya!